Thursday, November 16, 2006

TIPS MERANCANG KERJAYA ANDA

Sesetengah eksekutif berpendapat melaksanakan tugas dengan baik sudah mencukupi. Ini anggapan yang salah kerana sungguhpun anda sudah melaksanakan tugas dengan baik, ini tidak bermakna anda yang terbaik. Kebiasaannya, ketua anda lebih suka anda bersikap kreatif di dalam melaksanakan tugas. Keterampilan anda seperti berpakaian kemas, warna yang sesuai dan cara pertuturan memainkan peranan untuk menjadi pekerja cemerlang. Hubungan dengan rakan sekerja atau ahli kumpulan tugasan juga diambilkira untuk anda dinobatkan sebagai eksekutif cemerlang.


Beberapa cadangan ada diberikan oleh beberapa pihak dan secara kesimpulannya adalah:

  • Sentiasa cemerlang di dalam apa jua yang anda lakukan
    Jangan lepaskan peluang untuk menunjukkan anda mampu melakukan tugas dengan hebat. Ambil apa sahaja di hadapan anda dan peluang pertama adalah penting untuk menonjolkan kemahiran dan kehebatan anda. Ketua anda lebih mengkagumi pekerja yang melakukan tugas pertama dengan hebatnya. Di sinilah promosi diri anda bermula.


  • Jerut diri anda
    Benarkah kenyataan ini?Benar. Anda harus berani mengambil cabaran yang bakal anda hadapi apabila anda cuba melaksanakan sesuatu tugasan yang tidak pernah anda lakukan sebelum ini.Sebagai contoh, organisasi anda sedang cuba mengubah struktur organisasi iaitu penstrukturan semula bagi mencapai kepuasan pelanggan dan mengurangkan kos operasi.


Apabila anda dipertanggungjawabkan untuk menjadi salah seorang ahli tugasan tersebut, jangan terus menolak. Anda harus mencuba terlebih dahulu kerana banyak pengalaman yang anda dapat kumpulkan. Percayalah. Seorang eksekutif pernah menceritakan bahawa dia dipertanggungjawabkan untuk meningkatkan rangkaian firma dengan mengurangkan 32% jumlah kakitangan dan pada masa yang sama perlu meningkatkan kepuasan pelanggan.


Dia berasa sungguh tertekan dengan implikasi yang bakal beliau hadapi. Selepas 18 bulan, usaha beliau menunjukkan kejayaan dari segi perhubungan pelanggan dan kerjasama dari para pekerja meningkat. Ini disebabkan kumpulan kerja yang diwujudkan menjadi pekerja lebih bersatu sungguhpun bilangan pekerja yang semakin berkurangan.

  • Sukarela membantu melaksanakan kerja kecil tetapi berharga

Melaksanakan kerja yang kecil tetapi berharga tanpa menerima arahan dari pihak atasan mampu menaikkan reputasi anda. Ini sebagai petunjuk bahawa anda memahami objektif syarikat. Sebagai contoh anda dengan rela hati menjadi mentor kepada beberapa pelajar yang sedang menjalani latihan praktikal. Syarikat anda inginkan kemahiran mereka diteroka agar syarikat dapat mengambil mereka bekerja pada masa akan datang.

Usaha anda dapat menarik perhatian orang atasan kerana ia menunjukkan anda sangat berharga kepada syarikat. Mengapa? Kerana anda bersungguh-sungguh untuk mencapai visi organisasi anda.

Anda juga mungkin dapat menjadi seorang pelatih kepada pekerja-pekeja bawahan. Secara tidak langsung anda dapat menggilap kemahiran komunikasi anda di hadapan orang ramai.
Jadikan kerjaya anda sebagai satu kempen perhubungan awam dan wujudkan persahabatan dengan sesiapa jua. Lebih banyak perhubungan yang diwujudkan lebih mudah tawaran kerja muncul.

  • Berfikiran terbuka

Anda harus memasarkan diri anda melalui penyertaan sebagai ahli di dalam persatuan profesional. Jangan hanya menunggu buletin sampai ke tangan anda setiap bulan. Anda seharusnya aktif di dalam aktiviti yang dijalankan. Rangkaian lebih mudah diwujudkan jikalau anda menjadi ahli jawatankuasa badan profesional tersebut. Tetapi anda mesti berhati-hati untuk menjadi ahli badan profesional. Bukan sembarangan kerana pastikan majikan anda menghargai dan mengiktiraf badan profesional tersebut.


Jikalau anda aktif di dalam barisan kepimpinan, ini secara tidak langsung meningkatkan ekuiti anda dan majikan berasa kagum dengan kebolehan anda. Anda juga beruntung kerana sentiasa mengetahui perkembangan semasa industri organisasi anda. Yang paling penting dengan mengetahui tren terkini, anda lebih terdedah kepada peluang pekerjaan yang baru dan lebih mencabar.


Sebagai contoh, anda mungkin boleh menyertai Institut Pengurusan Malaysia (MIM) dan sentiasa aktif dengan aktiviti yang dianjurkan seperti seminar, wacana ilmu dan aktiviti kemasyarakatan. Melalui penyertaan itu, anda lebih dikenali dan lebih mengenali ahli-ahli lain yang berada di dalam industri yang berlainan. Pengetahuan anda juga bertambah dan jangan lupa untuk sentiasa mengedarkan kad perniagaan anda. Budaya orang-orang Jepun amat menghargai kad nama kerana tanpa kad nama anda tidak dihormati di dalam kelompok mereka.

  • Aktif menulis
    Anda harus menulis kerana dengan status eksekutif anda berpeluang mengambil bahagian di dalam pembentukan strategi organisasi. Oleh itu melalui penulisan, anda lebih dikenali dan idea anda terjual di mana-mana. Sesudah itu, anda mengambil bahagian di dalam seminar dan menjadi facilitator bagi aktiviti tersebut. Secara tidak langsung anda mewujudkan rangkaian perhubungan dan peluang pekerjaan bakal menghambat anda.


Kita lihat penulis “Lahirnya Seorang Jutawan”, Encik Azizi Ali. Melalui penulisannya idea beliau disukai ramai dan bukunya amat laris. Sekarang beliau amat dikenali dan banyak organisasi besar mengambil beliau sebagai konsultan. Mengapa anda tidak memulakan artikel anda hari ini?Menulislah selagi ada upaya anda. Jadikan pengalaman seharian anda sebagai input penulisan anda.

  • Hadkan diri anda
    Anda perlu akur bahawa anda tidak dapat melakukan semua perkara pada satu masa. Hadkan penglibatan anda di dalam mana-mana aktiviti kerana ada pihak yang beranggapan anda tamak dan tidak mempunyai visi yang sempurna. Penglibatan anda seharusnya di dalam aktiviti yang meningkatkan prestasi kerjaya anda dan mempunyai hubungkait dengan diri anda. Itu lebih efektif!


Ketua Pegawai Maklumat firma Johnson & Johnson, melibatkan diri di dalam aktiviti yang berhubungkait dengan dirinya sebagai seorang wanita. Beliau memulakan kerjaya beliau di dalam bidang perbankan dan setelah itu melibatkan diri di dalam Persatuan Kewangan Wanita New York dan akhirnya menjadi presiden persatuan tersebut.


Jangan menjadi doktor hanya kerana bapa atau datuk anda seorang doktor, jangan menjadi peguam kerana pulangan yang lumayan tetapi pilihlah kerjaya yang anda minati kerana pulangannya tidak ternilai.

No comments: