Thursday, November 23, 2006

KRITERIA PEKERJA DI DALAM BIDANG PERKHIDMATAN oleh Sdri Siti

**Terimakasih kepada penyumbang artikel ini. Semoga ia memberi manfaat kepada pembaca. Sila tinggalkan mesej sekiranya ingin menghubungi penulis ini.



Kita sering mengeluh dan mengomel apabila berurusan di kaunter yang mengendalikan perkhidmatan untuk orang ramai. Kita juga sering merasa tidak puas hati dengan layanan yang diberikan.

Setelah bekerja dalam bidang perkhidmatan, yang memerlukan saya berhubung dengan orang, di sepanjang karier saya, saya rasa ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh individu yang ingin bekerja dalam bidang perkhidmatan.

1) Yang paling penting seseorang itu perlu suka berinteraksi dengan orang tanpa mengira bangsa, umur dan agama.


2) Dia juga perlu mempunyai sikap suka membantu. Sikap ini bukan hanya diperlukan sewaktu bekerja, malah secara am beliau harus mempunyai sifat suka membantu ini. Kata orang alah bisa tegal biasa. Jika sesuatu itu bukan amalan kita, kita tidak akan mampu mengekalkannya dalam tindak-tanduk kita seharian.

3) Dia seorang yang peramah dan lekas mesra. Seorang yang berat mulut tidak sesuai bekerja dalam bidang perkhidmatan yang memerlukan kita berkomunikasi hampir sepanjang masa. Namun awas! Kita tidak boleh sentiasa bercakap sahaja.

4) Kita juga seorang yang pandai mendengar. Mendengar di sini bukan bermaksud mendengar dengan telinga sahaja. Kita juga perlu peka dengan memek muka, bahasa tubuh dan juga pergerakan lain. Kita juga harus pandai mendengar yang tersirat. Jika masih baru dalam bidang ini atau baru berfikir-fikir hendak menceburinya mungkin tidak ada kemahiran ini lagi. Ini satu kemahiran yang boleh kita pelajari.
Jika tidak diberikan latihan, sila cari di Internet atau baca buku-buku atau bertanya kepada orang yang arif tentangnya. Kemahiran ini penting sekali untuk menjadi seorang pekerja yang cekap dan memberikan perkhidmatan yang berkesan.
5) Seorang pekerja bidang perkhidmatan hendaklah seorang yang bersopan santun. Ini juga bukan suatu sikap atau karakter yang dibuat-buat. Ia harus sedia ada dalam diri.

6) Seorang yang bersifat perkauman atau prejudis tidak boleh bekerja dalam bidang ini. Ini kerana kita tidak boleh mengawal siapa yang kita akan temui. Mungkin kita menganggap yang kita akan hanya bertembung dengan orang beragama Islam sahaja misalnya jika bekerja dalam industri berlandaskan Islam. Pendapat itu tidak betul sama sekali. Dalam bidang perkhidmatan, orang yang ditemui melangkau batas usia, bangsa, agama dan kerakyatan. Oleh itu kita perlu mempunyai anggapan yang semua manusia itu sama. Seorang yang murah senyuman dan sentiasa manis mukanya.

Bidang perkhidmatan satu bidang yang amat menarik untuk diceburi. Ia bukan hanya terhad kepada beberapa jawatan yang kita telah stereotaip sebagai pekerja bidang perkhidmatan. Ia bukan hanya sekadar jurujual, telefonis, jururawat atau apa-apa pekerjaan yang kita lihat berhubung kait dengan perkhidmatan malah ia juga merangkumi apa-apa pekerjaan yang memerlukan kita berhubung dengan orang.

Mungkin jika dikategorikan seperti di atas, semua pekerjaan termasuk di dalamnya. Apa yang saya maksudkan ialah pekerjaan yang memerlukan kita sentiasa berhubung dengan orang dalam konteks memberikan bantuan, maklumat atau apa-apa yang memerlukan kita sering berinteraksi dua hala dengan mereka.

Mereka yang berhubung langsung dengan orang di luar lingkungan syarikat mereka lebih kritikal untuk mempunyai sifat-sifat yang saya senaraikan. Ini kerana kita juga memikul tanggungjawab untuk sentiasa menjaga nama baik organisasi yang kita wakili. Biarpun organisasi itu cuma warung menjual nasi lemak di tepi jalan atau kafe kecil di perhentian bas, semua ciri-ciri yang saya senaraikan perlu ada pada diri individu tersebut.

Apa yang tersirat di hati terpancar di wajah kita dan orang yang berinteraksi dengan kita akan dapat merasa getaran jiwa kita itu. Walau bagaimana manis senyuman atau setampan dan secantik mana pun kita, jika kita tidak ikhlas, orang akan terasa juga. Apabila orang terasa, waktu itulah kita akan mendapat layanan yang buruk daripada pelanggan kita. Lebih malang lagi, besar kemungkinan dia tidak akan datang lagi untuk mendapatkan khidmat kita! Waktu itu kita juga akan rugi.

Janganlah menganggap yang itu bukan syarikat kepunyaan kita, kita boleh berkhidmat sambil lewa. Syarikat hidup kerana adanya pelanggan. Gaji dan bonus kita dibayar dengan wang yang syarikat peroleh daripada bayaran khidmat yang diberikan. Jika pelanggan tidak datang lagi, kita juga yang suatu hari nanti mendapati yang kita tidak lagi punya kerja!

Bekerjalah dengan ikhlas. Bekerja bukan hanya untuk gaji sahaja. Jangan sekali-kali berkata kepada diri: Aku kerja, cukup bulan dapat gaji, cukuplah. Pendapatan yang halal itu berkat dan sentiasa cukup dibelanjakan untuk menampung keperluan kita sehari-hari. Pendapatan yang tidak berkat, walaupun puluhan ribu nilainya sebulan tidak akan cukup dan akan membebankan kita dengan pelbagai masalah.

No comments: