Monday, November 20, 2006


BAGAIMANA MENULIS BUKU KANAK-KANAK DAN REMAJA- Pengalaman Penulis


Entri ini ditulis bagi menjawab soalan-soalan yang dilontarkan kepada saya. Bagaimana menulis buku buat remaja dan kanak-kanak? Saya bukanlah orang yang pakar di dalam hal ini tetapi saya akan berkongsi sedikit-sebanyak pengalaman saya menulis buat golongan remaja. Pada mulanya, saya tidak pernah terfikir untuk menulis buku kreatif namun selepas diberi galakan dan kesedaran oleh Sifu kesayangan saya (ramai juga) Pn. Ainon Mohd, saya mula mencari alasan kuat untuk menghadiahkan sesuatu untuk remaja. Saya sayangkan remaja kerana merekalah pelapis yang akan memimpin insan di mukabumi ini. Jikalau baik kumpulan remaja, akan lahirlah golongan pemimpin yang hebat dan cemerlang.


Saya mula menulis buku remaja selepas perbincangan dengan P. Nor, Pengurus PTS One. Saya menulis buku "Elegi Tupai & Sepet". Tajuknya diberi oleh editor, sangat kreatif kerana saya pun tidak sangka editor dapat memberikan tajuk yang dapat menarik perhatian remaja. Syabas. Bagaimana saya menghasilkannya?


1) Mengingati kembali memori suka-duka semasa saya di zaman kanak-kanak.

Di sini saya mula mencatat peristiwa gembira, lucu, sedih, menyakitkan hati dan sebagainya. Menulis watak-watak yang terlibat di dalam setiap peristiwa.


2) Menulis apa yang teringat

Menurut kaedah Sifu, tulis apa sahaja yang kita ingat sewaktu itu. Jangan hiraukan penyusunan turutan kisah-kisah.


3) Membaca

Saya teruskan pembacaan isu-isu yang sedang berlaku dan sudah berlaku. Isu-isu yang berkaitan remaja. Buat rujukan apa kegemaran remaja dan apa yang digilai remaja. Terus membaca adalah satu elemen yang sangat penting supaya olahan cerita lebih menarik.


4) Tanya remaja

Sesekali saya akan bertanya remaja yang saya kenali dan tidak. Tanya pendapat mereka dan impian mereka juga masalah mereka. Di sinilah saya tahu apa kehendak remaja. Mereka sebenarnya inginkan yang terbaik dan mereka tercai-cari idola yang sesuai dengan jiwa mereka.


5) Penyusunan

Selepas siap semua cerita, barulah turutan cerita berdasarkan KJ method dilakukan. Selepas mengedit serba-sedikit, saya hantar kepada editor dan editor sentiasa bersikap terbuka. Perbincangan selalu dilakukan untuk memperbaiki cerita supaya lebih menarik.




No comments: