Sunday, March 18, 2007

Tips Mencipta Magnet Diri 0leh Sdr. Zamri Mohamad
Menjadi penulis bebas bukan sekadar untuk mengembang bakat. Ia adalah proses menjadi manusia yang lebih baik komunikasi interpersonalnya dan mengajar kita budi pekerti serta adab sosial dengan orang lain. Erti kata lain, walau sebagus mana kita, bakat penulis bebas akan mati jika kita tidak menjalinkan hubungan sosial dengan orang sekeliling.

Pengalaman saya mendapati ada bakat-bakat muda yang terbunuh secara senyap (tanpa disedari oleh penulis itu sendiri) kerana merasakan bakat sahaja sudah cukup untuk dirinya berkarya. Dia tidak menyangka sikapnya sedang membunuh bakatnya untuk tempoh 5 hingga 10 tahun akan datang.

Kesannya, meskipun ada karyanya tersiar di sana sini, hakikatnya karya itu hanya menjadi juara di tempat itu sahaja dan tidak berkembang. Jika dia menulis untuk universiti, maka di universiti sahajalah dia bermula dan tersekat. Jika dia berkarya di forum internet, maka di situlah awal dan akhirnya. Jika dia berkarya dan simpan sendiri, maka di situlah ia tidak ke mana-mana.

Penulis perlu mencipta magnet agar dirinya menjadi fokus penerbit buku, akhbar dan majalah untuk menerbitkan hasil penulisannya, dilihat istimewa oleh rakan-rakan media agar mereka membantu mempromosikan karya-karyanya, menjadi tarikan oleh penganjur program untuk menjemput kita untuk membuat rencana berkaitan program mereka serta menjadi individu yang dihormati dan disayangi orang sekeliling dengan keperibadian yang memberi keselesaan dalam jiwa mereka.
Perlukah saya mencipta magnet diri?
Saya tanyakan kembali. Sukakah kita berbual-bual dengan orang tidak saudari gemari?
Jika jawabnya tidak untuk kita, maka jawapan yang sama juga bakal mereka beri.
Soalnya, bagaimana saya mencipta magnet diri?

Saya berkesempatan mempelajari teknik-teknik ini dari mentor (Puan Ainon Mohd), penggerak utama Universiti Terbuka PTS (UNIKA PTS). Dalam bengkelnya untuk para penulis naungan PTS yang diadakan 11 Febuari lalu, beliau memberikan tip-tip ini. Saya sempat berkongsi tip-tip yang sama ketika menyampaikan ceramah Semarakkan Cintamu beberapa jam selepas kelas tersebut di MPH Wangsa Maju.

Tip 1. Penulis bebas ringan-ringankan mulut untuk mudah bersetuju.
Jangan cepat membangkang dengan pandangan orang lain. Jangan selalu menggunakan perkataan tapi untuk menafikan pandangan orang lain yang baru sahaja kita berjumpa. Selalu berkata tidak dengan orang lain mempamerkan diri saudara dan saudari ingin mendominasi keadaan.

Lihat bengkel kereta milik bangsa Cina. Apabila seorang pelanggan datang dengan kenderaan yang hancur remuk sekalipun, mekaniknya tetap berkata, “Ya, boleh diperbaiki. Awak tunggu tiga minggu. Semua akan baik seperti sediakala.”
Ya dan boleh di bibir mekanik cina ini tidak bermakna dia mempunyai semua alat ganti kenderaan itu. Sebaliknya, dia mencari rakan-rakan yang lain untuk mendapatkan alat-alat ganti tersebut. Pelanggan datang dan berpuas hati.

Pelanggan yang berpuas hati akan kembali kepada bengkel yang sama lagi.Sikap kita mudah bersetuju adalah bertujuan untuk memastikan mereka kembali berkomunikasi dengan kita lagi. Orang yang mudah bersetuju pada awalnya pada akhirnya akan mudah berunding dan mendapat kata sepakat yang mungkin membuat individu lain bersedia mengorbankan pilihanya untuk kita.

Tip 2. Penulis bebas sentiasa bermurah hati.
Sikap bermurah hati timbul dalam pelbagai cara. Amalan penerbit cerita bersiri di televisyen Jepun dan Barat sudah mula membawa konsep bermurah hati dalam amalan niaga.
Saya pernah menonton sebuah drama bersiri Jepun bertajuk Koi ni Ichitara. Ketika rancangan ini baru bermula, terdengarlah suara wanita berkata, “Sokonglah penerbit cerita ini apabila ia dipasarkan.”

Rupa-rupanya para penerbit siri drama Jepun memasarkan drama-drama mereka di dalam internet secara percuma dan ada yang boleh dimuat turun sebelum ia dijual dan disiarkan di televisyen. Amalan ini membawa kepada pembentukkan kumpulan yang meminati cerita tersebut dan meyakinkan para pengiklan untuk mengiklankan produk mereka. Kesan murah hati penerbit ini kembali kepada diri.

Tidak semua orang mempunyai akses internet. Tetapi mereka yang pernah menonton Koi ni Ichitara di internet pasti akan bercerita sesama mereka. Rasa ingin tahu orang ramai menjadikan siri ini dicari dan dimiliki. Stesyen televisyen pula bersedia menyiarkan siri drama ini apabila timbul permintaan untuk menonton.
Penulis bebas juga boleh membuat benda yang sama.

Sebarkan e-mel ini kepada mereka yang saudara dan saudari rasa kandungan e-mel ini boleh membantu. Tampalkan di mana-mana baik di meja kerja atau bilik persatuan. Ajarkan kepada orang lain tentang apa yang kita tahu.
Jika sudah mencipta hubungan rakan-rakan dengan orang lain yang kita temui, sekali-sekala belanja makan juga membantu. Dalam kes saya, pernah seorang wartawan pula hendak belanja makan. Terbalik pula.
Lebih banyak diberi, lebih banyak kita peroleh.

Tip 3. Penulis bebas biasa-biasakan memuji.
Ingat, memuji berbeza dengan mengampu. Orang yang pandai berkata-kata membuat orang lain datang bagaikan burung pipit yang datang makan bijirin di tapak tangan kita. Berilah kata-kata pujian yang terbaik dan tepat.
Sebut pujian ke atas perbuatannya secara spesifik. Misalnya, jika program yang dihadiri bagus katakan, “Pihak penganjur memilih ahli panel yang tepat untuk membincangkan isu ini,” berbanding, “Program ini bagus. Tahniah.”
Segerakan pujian melalui e-mel, kad atau surat. Nyatakan rasa berbesar hati kita menjadi sebahagian program tersebut dan berharap berpeluang menemui mereka pada masa akan datang. Ingat, walau apa kekurangan program tersebut jangan diungkit-ungkit dengan tujuan hendak memperbetulkan.
Pengalaman saya mendapati, mereka sendiri akan bertanyakan apa yang perlu dibuat dan diperbetulkan selepas wujud rasa selesa dengan penulis bebas tersebut. Ia biasanya terjadi apabila kita menjadi rakan.
Kita selaku penulis bebas datang bukan hendak menjadi hakim kepada program orang lain yang mungkin tidak ada kena mengena dengan kita melainkan untuk penulisan semata-mata. Elok-elok orang suka jadi benci.
Lebih parah lagi jika kita penulis bebas awal-awal dibenci ketika mana kita tidak ada apa-apa rekod siri penulisan yang kuat melainkan pengalaman menulis di majalah sekolah sahaja untuk diuar-uarkan setiap masa.

Tip 4. Puji-pujian baru datang teguran.
Adakah ia bermakna kita kena selalu mendiamkan diri dan biarkan sahaja kesalahan itu? Kritikan boleh sahaja jika kita tidak kelihatan asing lagi di mata mereka.
Pengalaman saya bekerja dengan media dan mengurus acara di UIAM mendapati para wartawan yang dijemput ke majlis-majlis rasmi sekalipun sudah kelihatan seperti jemputan kepada rakan-rakan.

Penganjur sangat terbuka dengan pandangan wartawan apabila mereka duduk semeja bergelak ketawa dan berbual selepas majlis. Biasanya jawatankuasa penganjur mungkin sudah mengenali wartawan-wartawan ini lebih dari dua tahun.
Itu pun para wartawan tidak semberono mengkritik kekurangan program. Malah ada pula wartwan yang memberi janji-janji positif untuk menyiarkan berita program di akhbar dan majalah tempat mereka bertugas.

Apabila penganjur berkongsi cerita kekurangan program, rakan-rakan wartawan ini bukan menambah lagi cerita kekurangan itu. Sebaliknya mereka pernah berkata,
“Biasalah progam besar memang tak menang tangan dibuatnya. Program yang saudara buat ini jauh lebih baik dari satu program lain anjuran satu pihak lain (tanpa menyebutkan nama penganjur) yang saya hadiri dahulu.”

Seni menegur adalah kemahiran kritikal. Ia sangat penting untuk tujuan pembaikan tanpa perlu melukakan hati sesiapa. Pakar-pakar komunikasi mengatakan lebihkan pujian dan diiringi teguran. Pujian bertindak sebagai ’tilam’. Setidak-tidaknya kritikan yang dibuat tidaklah begitu terasa sakitnya selepas diberi ’tilam-tilam’ itu.

Cipta teguran kepada cadangan, misalnya
“Kesalahan tatabahasa nampak jelas di kain pemidang program kamu.” ditukar kepada “Ayat sudah menarik, kalau masa akan datang disusun dengan ayat seperti ini …. boleh tak?”
Ingat penulis bebas, berikan pandangan hanya selepas diminta!
Jangan menegur jika niat semata-mata menunjukkan kita betul dan dia salah! Ia menunjukkan kita hendak menjadi juara membetulkan kesalahan orang lain dengan mengalahkan orang lain dengan kesalahan-kesalahanya. Kemenangan inilah sebenarnya kekalahan kita. Jangan terkejut, ada orang yang mudah berpuas hati dan seronok jika berjaya memperbetul-betulkan orang lain.
Teguran juga sinonim dengan rungutan. Pakar-pakar komunikasi mendapati satu rungutan lelaki bersamaan dengan 28 kali rungutan perempuan (1:28). Dalam mana-mana hubungan sekalipun, berhati-hati dengan sikap merungut.

Rupa-rupanya dalam konteks perhubungan, apabila lelaki membuat sendiri semua perkara yang dilakukan oleh pasangan kepadanya selama ini, itu adalah tanda dia tidak dapat menerimanya rungutan pasangan lagi.

Tip 5. Sampaikan berita baik.
Kita suka mendengar berita baik. Bayangkan jika hari ini kita menerima berita buruk tentang keputusan ujian dengan markah rendah, gaji dipotong setengah bulan atau jawatan kita dilucutkan. Boleh tersenyumkah?
Berita-berita baik yang boleh disampaikan ialah dalam bentuk ucapan tahniah, cerita-cerita yang boleh menguntungkan dirinya. Ketika saya pertama kali diwawancara sebuah akhbar bahasa Melayu, saya diingatkan oleh mentor saya untuk sentiasa berterima kasih dan lahirkan kegembiraan kepada wartawan tersebut melalui SMS selepas artikel tersebut disiarkan. Elakkan kesilapan yang hanya bernilai sepuluh sen yang akan merugikan kita sebanyak sepuluh ringgit.
Jika rencana atau berita program yang kita hasilkan muncul di akhbar, maklumkan segera berita baik itu kepada penganjurnya. Itu salah satu cara menyampaikan berita baik.