Sunday, November 19, 2006



PENULIS BERSAMA

Bagaimana menulis sebuah buku bersama penulis yang lain? Ini adalah satu persoalan yang kadang-kadang bermain di dalam fikiran pembaca malah penulis juga. Saya percaya ada penulis yang tidak mampu hendak menghasilkan sebuah buku berseorangan dan akhirnya hasrat menyiapkan buku tidak menemui noktah. Satu taktik bagi menyelesaikan masalah itu adalah mempelawa rakan atau orang yang kita kenali menulis bersama. Tetapi bagaimana?

Bukan semua buku mudah hendak ditulis bersama. Pembahagian kerja mestilah adil dan tidak menimbulkan sebarang masalah akan datang. Sekiranya buku itu berbentuk ilmiah, penulis hendaklah merangka kandungan yang bakal ditulis dan beberapa segmen akan dibahagikan secara adil. Apa yang saya amalkan di dalam penulisan novel kreatif (jibunsyi) yang dibimbing Sifu PTS agak mudah. Di sini ada beberapa tips buat renungan bersama.

1) Tentukan keseluruhan jalan cerita

Oleh kerana novel kreatif PTS berdasarkan kisah benar, penulis bersama perlulah berbincang dan memahami keseluruhan cerita yang bakal ditulis.

2) Tentukan watak-watak utama

Watak-watak yang terlibat hendaklah ditulis berdasarkan rajah tulang ikan (seperti diajar Puan Ainon) dan penulis bersama tahu sifat watak-watak itu.

3) Kisah awal dan akhir

Apabila penulis tahu kisah-kisah yang pernah berlaku didalam kehidupan watak utama, pembahagian kerja mula dilakukan. Penulis pertama mungkin bertanggungjawab menulis kisah ringkas di atas kad-kad kecil manakala penulis kedua pula menulis ayat-ayat yang membentuk cerita. Ini dapat memudahkan penulis kedua fokus kepada pembentukan ayat-ayat sahaja. Kaedah ini membantu penulis kedua merangka dialog yang sesuai. Penulis pertama juga bertanggungjawab mengedit ayat-ayat yang sudah ditulis oleh penulis kedua.

4) Rangkaan dialog-dialog

Kelebihan menulis bersama adalah penulis berkesempatan berbincang mengenai dialog yang bakal ditulis menurut kesesuaian cerita. Perbincangan dapat memberi kesempatan kepada penulis bagi menganalisa dialog yang memberi kesan kepada emosi pembaca.

5) Tetapkan masa

Setiap penulis perlu menyiapkan tugasan berdasarkan masa yang diberi. Ini dapat membantu buku kreatif itu disiapkan mengikut waktu. Semua pembetulan dan proses pengeditan mesti dilakukan sebelum manuskrip dihantar kepada editor. Saya masih ingat pesanan sifu, mudahkan kerja para editor nescaya editor suka mengedit buku penulis dan buku penulis juga cepat disiapkan dan berada di pasaran.


Itulah di antara tips yang dapat saya berikan berdasarkan pengalaman saya menulis di bawah bimbingan Sifu PTS, Pn. Ainon Mohd. Semoga maklumat ini dapat membantu penulis menghasilkan lebih banyak buku yang berkualiti supaya matlamat membentuk peribadi mulia dan pembangunan modal insan tercapai.

No comments: