Monday, December 25, 2006
Adakah anda benar-benar mengenali diri anda? Sebagai seorang yang sedang mencari pekerjaan, kedang-kadang pasti timbul satu perasaan yang menggusarkan diri individu. Adakah aku sesuai dengan pekerjaan ini? Adakah aku benar-benar layak untuk memegang jawatan itu? Adakah aku meminati bidang ini? Adakah aku akan bertahan lama di dalam bidang ini?
Persoalan ini selalu bermain di fikiran generasi muda. Kadang-kadang keyakinan diri mudah terguris kerana faktor-faktor yang tidak kita sangka-sangka. Justeru itu, sangatlah penting individu mengenali kekuatan dan kelemahan diri supaya kekesalan tidak akan muncul satu hari nanti. Jangan berlengah. Klik di sebelah untuk mengetahui personaliti anda. Beritahu kawan-kawan supaya ada panduan untuk memilih kerjaya yang paling sesuai dengan diri.
Thursday, November 23, 2006
**Terimakasih kepada penyumbang artikel ini. Semoga ia memberi manfaat kepada pembaca. Sila tinggalkan mesej sekiranya ingin menghubungi penulis ini.
Kita sering mengeluh dan mengomel apabila berurusan di kaunter yang mengendalikan perkhidmatan untuk orang ramai. Kita juga sering merasa tidak puas hati dengan layanan yang diberikan.
Setelah bekerja dalam bidang perkhidmatan, yang memerlukan saya berhubung dengan orang, di sepanjang karier saya, saya rasa ada beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh individu yang ingin bekerja dalam bidang perkhidmatan.
1) Yang paling penting seseorang itu perlu suka berinteraksi dengan orang tanpa mengira bangsa, umur dan agama.
2) Dia juga perlu mempunyai sikap suka membantu. Sikap ini bukan hanya diperlukan sewaktu bekerja, malah secara am beliau harus mempunyai sifat suka membantu ini. Kata orang alah bisa tegal biasa. Jika sesuatu itu bukan amalan kita, kita tidak akan mampu mengekalkannya dalam tindak-tanduk kita seharian.
3) Dia seorang yang peramah dan lekas mesra. Seorang yang berat mulut tidak sesuai bekerja dalam bidang perkhidmatan yang memerlukan kita berkomunikasi hampir sepanjang masa. Namun awas! Kita tidak boleh sentiasa bercakap sahaja.
4) Kita juga seorang yang pandai mendengar. Mendengar di sini bukan bermaksud mendengar dengan telinga sahaja. Kita juga perlu peka dengan memek muka, bahasa tubuh dan juga pergerakan lain. Kita juga harus pandai mendengar yang tersirat. Jika masih baru dalam bidang ini atau baru berfikir-fikir hendak menceburinya mungkin tidak ada kemahiran ini lagi. Ini satu kemahiran yang boleh kita pelajari.
6) Seorang yang bersifat perkauman atau prejudis tidak boleh bekerja dalam bidang ini. Ini kerana kita tidak boleh mengawal siapa yang kita akan temui. Mungkin kita menganggap yang kita akan hanya bertembung dengan orang beragama Islam sahaja misalnya jika bekerja dalam industri berlandaskan Islam. Pendapat itu tidak betul sama sekali. Dalam bidang perkhidmatan, orang yang ditemui melangkau batas usia, bangsa, agama dan kerakyatan. Oleh itu kita perlu mempunyai anggapan yang semua manusia itu sama. Seorang yang murah senyuman dan sentiasa manis mukanya.
Bidang perkhidmatan satu bidang yang amat menarik untuk diceburi. Ia bukan hanya terhad kepada beberapa jawatan yang kita telah stereotaip sebagai pekerja bidang perkhidmatan. Ia bukan hanya sekadar jurujual, telefonis, jururawat atau apa-apa pekerjaan yang kita lihat berhubung kait dengan perkhidmatan malah ia juga merangkumi apa-apa pekerjaan yang memerlukan kita berhubung dengan orang.
Mungkin jika dikategorikan seperti di atas, semua pekerjaan termasuk di dalamnya. Apa yang saya maksudkan ialah pekerjaan yang memerlukan kita sentiasa berhubung dengan orang dalam konteks memberikan bantuan, maklumat atau apa-apa yang memerlukan kita sering berinteraksi dua hala dengan mereka.
Mereka yang berhubung langsung dengan orang di luar lingkungan syarikat mereka lebih kritikal untuk mempunyai sifat-sifat yang saya senaraikan. Ini kerana kita juga memikul tanggungjawab untuk sentiasa menjaga nama baik organisasi yang kita wakili. Biarpun organisasi itu cuma warung menjual nasi lemak di tepi jalan atau kafe kecil di perhentian bas, semua ciri-ciri yang saya senaraikan perlu ada pada diri individu tersebut.
Apa yang tersirat di hati terpancar di wajah kita dan orang yang berinteraksi dengan kita akan dapat merasa getaran jiwa kita itu. Walau bagaimana manis senyuman atau setampan dan secantik mana pun kita, jika kita tidak ikhlas, orang akan terasa juga. Apabila orang terasa, waktu itulah kita akan mendapat layanan yang buruk daripada pelanggan kita. Lebih malang lagi, besar kemungkinan dia tidak akan datang lagi untuk mendapatkan khidmat kita! Waktu itu kita juga akan rugi.
Janganlah menganggap yang itu bukan syarikat kepunyaan kita, kita boleh berkhidmat sambil lewa. Syarikat hidup kerana adanya pelanggan. Gaji dan bonus kita dibayar dengan wang yang syarikat peroleh daripada bayaran khidmat yang diberikan. Jika pelanggan tidak datang lagi, kita juga yang suatu hari nanti mendapati yang kita tidak lagi punya kerja!
Bekerjalah dengan ikhlas. Bekerja bukan hanya untuk gaji sahaja. Jangan sekali-kali berkata kepada diri: Aku kerja, cukup bulan dapat gaji, cukuplah. Pendapatan yang halal itu berkat dan sentiasa cukup dibelanjakan untuk menampung keperluan kita sehari-hari. Pendapatan yang tidak berkat, walaupun puluhan ribu nilainya sebulan tidak akan cukup dan akan membebankan kita dengan pelbagai masalah.
Monday, November 20, 2006
Sunday, November 19, 2006
PENULIS BERSAMA
Bagaimana menulis sebuah buku bersama penulis yang lain? Ini adalah satu persoalan yang kadang-kadang bermain di dalam fikiran pembaca malah penulis juga. Saya percaya ada penulis yang tidak mampu hendak menghasilkan sebuah buku berseorangan dan akhirnya hasrat menyiapkan buku tidak menemui noktah. Satu taktik bagi menyelesaikan masalah itu adalah mempelawa rakan atau orang yang kita kenali menulis bersama. Tetapi bagaimana?
Bukan semua buku mudah hendak ditulis bersama. Pembahagian kerja mestilah adil dan tidak menimbulkan sebarang masalah akan datang. Sekiranya buku itu berbentuk ilmiah, penulis hendaklah merangka kandungan yang bakal ditulis dan beberapa segmen akan dibahagikan secara adil. Apa yang saya amalkan di dalam penulisan novel kreatif (jibunsyi) yang dibimbing Sifu PTS agak mudah. Di sini ada beberapa tips buat renungan bersama.
1) Tentukan keseluruhan jalan cerita
Oleh kerana novel kreatif PTS berdasarkan kisah benar, penulis bersama perlulah berbincang dan memahami keseluruhan cerita yang bakal ditulis.
2) Tentukan watak-watak utama
Watak-watak yang terlibat hendaklah ditulis berdasarkan rajah tulang ikan (seperti diajar Puan Ainon) dan penulis bersama tahu sifat watak-watak itu.
3) Kisah awal dan akhir
Apabila penulis tahu kisah-kisah yang pernah berlaku didalam kehidupan watak utama, pembahagian kerja mula dilakukan. Penulis pertama mungkin bertanggungjawab menulis kisah ringkas di atas kad-kad kecil manakala penulis kedua pula menulis ayat-ayat yang membentuk cerita. Ini dapat memudahkan penulis kedua fokus kepada pembentukan ayat-ayat sahaja. Kaedah ini membantu penulis kedua merangka dialog yang sesuai. Penulis pertama juga bertanggungjawab mengedit ayat-ayat yang sudah ditulis oleh penulis kedua.
4) Rangkaan dialog-dialog
Kelebihan menulis bersama adalah penulis berkesempatan berbincang mengenai dialog yang bakal ditulis menurut kesesuaian cerita. Perbincangan dapat memberi kesempatan kepada penulis bagi menganalisa dialog yang memberi kesan kepada emosi pembaca.
5) Tetapkan masa
Setiap penulis perlu menyiapkan tugasan berdasarkan masa yang diberi. Ini dapat membantu buku kreatif itu disiapkan mengikut waktu. Semua pembetulan dan proses pengeditan mesti dilakukan sebelum manuskrip dihantar kepada editor. Saya masih ingat pesanan sifu, mudahkan kerja para editor nescaya editor suka mengedit buku penulis dan buku penulis juga cepat disiapkan dan berada di pasaran.
Itulah di antara tips yang dapat saya berikan berdasarkan pengalaman saya menulis di bawah bimbingan Sifu PTS, Pn. Ainon Mohd. Semoga maklumat ini dapat membantu penulis menghasilkan lebih banyak buku yang berkualiti supaya matlamat membentuk peribadi mulia dan pembangunan modal insan tercapai.
Thursday, November 16, 2006
Sesetengah eksekutif berpendapat melaksanakan tugas dengan baik sudah mencukupi. Ini anggapan yang salah kerana sungguhpun anda sudah melaksanakan tugas dengan baik, ini tidak bermakna anda yang terbaik. Kebiasaannya, ketua anda lebih suka anda bersikap kreatif di dalam melaksanakan tugas. Keterampilan anda seperti berpakaian kemas, warna yang sesuai dan cara pertuturan memainkan peranan untuk menjadi pekerja cemerlang. Hubungan dengan rakan sekerja atau ahli kumpulan tugasan juga diambilkira untuk anda dinobatkan sebagai eksekutif cemerlang.
Beberapa cadangan ada diberikan oleh beberapa pihak dan secara kesimpulannya adalah:
- Sentiasa cemerlang di dalam apa jua yang anda lakukan
Jangan lepaskan peluang untuk menunjukkan anda mampu melakukan tugas dengan hebat. Ambil apa sahaja di hadapan anda dan peluang pertama adalah penting untuk menonjolkan kemahiran dan kehebatan anda. Ketua anda lebih mengkagumi pekerja yang melakukan tugas pertama dengan hebatnya. Di sinilah promosi diri anda bermula.
- Jerut diri anda
Benarkah kenyataan ini?Benar. Anda harus berani mengambil cabaran yang bakal anda hadapi apabila anda cuba melaksanakan sesuatu tugasan yang tidak pernah anda lakukan sebelum ini.Sebagai contoh, organisasi anda sedang cuba mengubah struktur organisasi iaitu penstrukturan semula bagi mencapai kepuasan pelanggan dan mengurangkan kos operasi.
Apabila anda dipertanggungjawabkan untuk menjadi salah seorang ahli tugasan tersebut, jangan terus menolak. Anda harus mencuba terlebih dahulu kerana banyak pengalaman yang anda dapat kumpulkan. Percayalah. Seorang eksekutif pernah menceritakan bahawa dia dipertanggungjawabkan untuk meningkatkan rangkaian firma dengan mengurangkan 32% jumlah kakitangan dan pada masa yang sama perlu meningkatkan kepuasan pelanggan.
Dia berasa sungguh tertekan dengan implikasi yang bakal beliau hadapi. Selepas 18 bulan, usaha beliau menunjukkan kejayaan dari segi perhubungan pelanggan dan kerjasama dari para pekerja meningkat. Ini disebabkan kumpulan kerja yang diwujudkan menjadi pekerja lebih bersatu sungguhpun bilangan pekerja yang semakin berkurangan.
- Sukarela membantu melaksanakan kerja kecil tetapi berharga
Melaksanakan kerja yang kecil tetapi berharga tanpa menerima arahan dari pihak atasan mampu menaikkan reputasi anda. Ini sebagai petunjuk bahawa anda memahami objektif syarikat. Sebagai contoh anda dengan rela hati menjadi mentor kepada beberapa pelajar yang sedang menjalani latihan praktikal. Syarikat anda inginkan kemahiran mereka diteroka agar syarikat dapat mengambil mereka bekerja pada masa akan datang.
Usaha anda dapat menarik perhatian orang atasan kerana ia menunjukkan anda sangat berharga kepada syarikat. Mengapa? Kerana anda bersungguh-sungguh untuk mencapai visi organisasi anda.
Anda juga mungkin dapat menjadi seorang pelatih kepada pekerja-pekeja bawahan. Secara tidak langsung anda dapat menggilap kemahiran komunikasi anda di hadapan orang ramai.
Jadikan kerjaya anda sebagai satu kempen perhubungan awam dan wujudkan persahabatan dengan sesiapa jua. Lebih banyak perhubungan yang diwujudkan lebih mudah tawaran kerja muncul.
- Berfikiran terbuka
Anda harus memasarkan diri anda melalui penyertaan sebagai ahli di dalam persatuan profesional. Jangan hanya menunggu buletin sampai ke tangan anda setiap bulan. Anda seharusnya aktif di dalam aktiviti yang dijalankan. Rangkaian lebih mudah diwujudkan jikalau anda menjadi ahli jawatankuasa badan profesional tersebut. Tetapi anda mesti berhati-hati untuk menjadi ahli badan profesional. Bukan sembarangan kerana pastikan majikan anda menghargai dan mengiktiraf badan profesional tersebut.
Jikalau anda aktif di dalam barisan kepimpinan, ini secara tidak langsung meningkatkan ekuiti anda dan majikan berasa kagum dengan kebolehan anda. Anda juga beruntung kerana sentiasa mengetahui perkembangan semasa industri organisasi anda. Yang paling penting dengan mengetahui tren terkini, anda lebih terdedah kepada peluang pekerjaan yang baru dan lebih mencabar.
Sebagai contoh, anda mungkin boleh menyertai Institut Pengurusan Malaysia (MIM) dan sentiasa aktif dengan aktiviti yang dianjurkan seperti seminar, wacana ilmu dan aktiviti kemasyarakatan. Melalui penyertaan itu, anda lebih dikenali dan lebih mengenali ahli-ahli lain yang berada di dalam industri yang berlainan. Pengetahuan anda juga bertambah dan jangan lupa untuk sentiasa mengedarkan kad perniagaan anda. Budaya orang-orang Jepun amat menghargai kad nama kerana tanpa kad nama anda tidak dihormati di dalam kelompok mereka.
- Aktif menulis
Anda harus menulis kerana dengan status eksekutif anda berpeluang mengambil bahagian di dalam pembentukan strategi organisasi. Oleh itu melalui penulisan, anda lebih dikenali dan idea anda terjual di mana-mana. Sesudah itu, anda mengambil bahagian di dalam seminar dan menjadi facilitator bagi aktiviti tersebut. Secara tidak langsung anda mewujudkan rangkaian perhubungan dan peluang pekerjaan bakal menghambat anda.
Kita lihat penulis “Lahirnya Seorang Jutawan”, Encik Azizi Ali. Melalui penulisannya idea beliau disukai ramai dan bukunya amat laris. Sekarang beliau amat dikenali dan banyak organisasi besar mengambil beliau sebagai konsultan. Mengapa anda tidak memulakan artikel anda hari ini?Menulislah selagi ada upaya anda. Jadikan pengalaman seharian anda sebagai input penulisan anda.
- Hadkan diri anda
Anda perlu akur bahawa anda tidak dapat melakukan semua perkara pada satu masa. Hadkan penglibatan anda di dalam mana-mana aktiviti kerana ada pihak yang beranggapan anda tamak dan tidak mempunyai visi yang sempurna. Penglibatan anda seharusnya di dalam aktiviti yang meningkatkan prestasi kerjaya anda dan mempunyai hubungkait dengan diri anda. Itu lebih efektif!
Ketua Pegawai Maklumat firma Johnson & Johnson, melibatkan diri di dalam aktiviti yang berhubungkait dengan dirinya sebagai seorang wanita. Beliau memulakan kerjaya beliau di dalam bidang perbankan dan setelah itu melibatkan diri di dalam Persatuan Kewangan Wanita New York dan akhirnya menjadi presiden persatuan tersebut.
Jangan menjadi doktor hanya kerana bapa atau datuk anda seorang doktor, jangan menjadi peguam kerana pulangan yang lumayan tetapi pilihlah kerjaya yang anda minati kerana pulangannya tidak ternilai.
Wednesday, November 15, 2006
INGIN MENJADI PENULIS SEPENUH MASA?
Istimewa dari ZAMRI MOHAMAD
Tuesday, November 14, 2006
MERANCANG KERJAYA ANDA
Jangan biarkan diri anda menganggur walaupun sehari. Jikalau anda telah hilang pekerjaan, libatkan diri di dalam aktiviti sukarela, menolong kawan atau menjadi konsultan di dalam organisasi yang tidak berasaskan keuntungan. Dapatkan kerja sambilan kerana ia membantu anda mendapatkan kerja sepenuh masa.
“Aku lihat kamu selalu mengeluarkan idea semasa mesyuarat atau perbincangan. Kebiasaannya idea kamu diterima kerana aku juga berpendapat ianya bernas,” komen Rizal kepada Umar pada satu hari.
“Aku hanya ingin membantu firma kita mencari peluang perniagaan yang baru,” dengan rendah hati Umar menjawab.
“Tetapi bukankah kita ini hanya makan gaji. Sebanyak mana sumbangan kita, akhir bulan gaji tetap sama,” Rizal cuba menduga Umar.
“Benar kata kamu. Tetapi aku merasakan firma ini sebagai rakan perniagaan aku,” dengan selamba Umar membalas.
“Rakan perniagaan?” Rizal terkejut.
“Kita mesti inginkan rakan perniagaan kita mengaut untung yang banyak kerana kita juga mendapat bahagiannya,”ujar Umar.
“Baru aku faham. Betul kata kamu, apabila rakan perniagaan kita semakin maju, sudah pasti kita mendapat habuannya juga,” kata Rizal menyetujui idea Umar.
“Ini sebenarnya satu cara untuk aku merancang kerjaya aku pada masa akan datang. Sekiranya aku mencuba sesuatu yang baru, nanti aku dapat menggunakan idea ini sekiranya aku mempunyai perniagaan sendiri,” terang Umar.
Setiap dari kita bertanggungjawab untuk merancang pembangunan kerjaya masing-masing. AWAS! Anda bermasalah andaikata anda sudah terlalu selesa dengan kedudukan anda sekarang. Ini bermakna kerjaya anda tidak berkembang. Perubahan suasana tidak dapat diramalkan kerana anda perlu sentiasa bersedia untuk menangani perubahan. Amat penting bagi anda selari dengan perubahan yang pantas. Sungguhpun anda bekerja, anda merupakan rakan perniagaan kepada majikan anda.
Anda mempunyai keistimewaan dan kekuatan di dalam menjalankan tugas anda sebagai seorang profesional. Perubahan harus dianggap sebagai peluang yang harus diteroka. Cuba pamerkan kemahiran anda dan itu adalah salah satu cara anda mempromosikan kemahiran anda.
Anda harus sentiasa mencari perubahan baru dan tingkatkan kemahiran komunikasi anda. Pastikan anda juga mempunyai rangkaian yang hebat di dalam organisasi anda. Tonjolkan diri anda dan sentiasa membantu mana-mana pihak jikalau diperlukan. Pertolongan anda akan diingati selalu dan kemahiran anda akan diperlukan pada masa hadapan.
Sebagai contoh, organisasi anda baru sahaja dianugerahkan sijil pengurusan kualiti ISO 9000. Satu acara penyampaian anugerah tersebut bakal diadakan dan cubalah anda menghulurkan bantuan kepada mana-mana jabatan yang memerlukan pertolongan. Mungkin anda berbakat di dalam rekaan dalaman dan cubalah keluarkan idea anda kepada orang-orang yang terlibat. Idea yang baik sentiasa diperlukan kerana kebiasaannya organisasi amat menghargai bakat pekerjanya sendiri. Ini tidak langsung menaikkan ekuiti anda sebagai pekerja cemerlang.
Untuk menjadi pekerja cemerlang, komitmen dan motivasi yang tinggi diperlukan. Anda harus terus belajar secara berterusan. Jangan cepat berputus asa dan sentiasa berfikiran optimistik. Beberapa faktor di dalam pembangunan kerjaya bergantung kepada aspirasi pekerja seperti:
- peningkatan tanggungjawab peribadi
- peningkatan penglibatan di dalam membuat keputusan
- memperolehi kerja yang lebih bermakna dan menyumbang kepada masyarakat
- peningkatan di dalam cabaran dan kepuasan
- mempunyai lebih pengalaman secara praktikal
- mempunyai hubungan baik dengan pengurusan atasan
- mempunyai lebih peluang untuk meningkatkan kemahiran di dalam jawatan semasa
WELCOME